Biografi Naratif: Penghasilan Makna Melalui Catan
Narrative Biography: Making Meaning through Painting
Keywords:
biografi naratif, penghasilan maksud, catanAbstract
Naratif telah menjadi satu ciri yang sangat menonjol dalam sejarah seni visual. Pelukis pada masa kini terus melibatkan diri dengan naratif untuk bercerita dan mengungkap suatu ungkapan agar menjadi lebih hebat dan menarik. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengetahui dan memahami apakah ciri-ciri atau konsep yang digunakan dalam struktur karya naratif. Selain itu, kajian ini juga dilakukan untuk memahami bagaimana perbezaan sifat pelukis yang menggunakan konsep naratif bagi menggambarkan karya mereka sebagai salah satu bentuk penceritaan mengenai subjek sama ada dalam konteks pengalaman peribadi, budaya popular, peristiwa sejarah, fantasi, fiksyen dan dunia. Akhir sekali, kajian ini dijalankan untuk memahami bagaimana semua maklumat tersebut boleh digunakan dalam memahami karya-karya yang dihasilkan oleh penyelidik meliputi pemahaman bergambar, struktur imej dan berkaitan dengan pembuatan maknanya. Para pelukis seperti David Salle, Christian Boltanski, Tim Barney, Jailani Abu Hassan dan Ismail Zain telah dikaji untuk melihat bagaimana mereka menyampaikan seni naratif sebagai asas dalam rangka kerja konsep mereka. Dengan menjalankan penyelidikan literatur daripada data-data sekunder, kajian ini juga mengkaji proses penghasilan seni yang merangkumi dua faktor penting iaitu penghasilan suatu objek seni dan makna. Di sini dua aspek telah diberi perhatian iaitu yang pertama adalah aspek formal dan bahan iaitu objek seni, mana kala yang kedua adalah aspek artikel dan konteks iaitu makna. Dengan cara mengkaji melalui proses penyelidikan, penyelidik telah menggunakan semua maklumat dan pengetahuan ini dalam memahami dengan lebih mendalam berkenaan dengan penghasilan karya-karya penyelidik dan menjadikannya sebagai data yang sangat berguna bagi mereka yang berminat dalam seni naratif.