LEARNING ASSESSMENT MODEL FOR INVASION CATEGORY GAMES IN YEAR 4 PHYSICAL EDUCATION
MODEL PENTAKSIRAN PEMBELAJARAN BAGI PERMAINAN KATEGORI SERANGAN DALAM PENDIDIKAN JASMANI TAHUN 4
Keywords:
Pendidikan Jasmani, pentaksiran pembelajaran, permainan kategori serangan, kesahan, kebolehpercayaanAbstract
Kajian ini bertujuan untuk menentukan kesahan dan kebolehpercayaan Model Pentaksiran Pembelajaran bagi permainan kategori serangan dalam Pendidikan Jasmani. Kajian ini menggunakan instrumen yang holistik bagi menilai standard prestasi pelajar bagi permainan kategori serangan iaitu penilaian pemerhatian guru yang merangkumi domain psikomotor, kognitif dan afektif. Instrumen mengukur kajian ini dibina berdasarkan kepada lima sumber utama iaitu Buku Panduan Pengajaran Pendidikan Jasmani, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Pendidikan Jasmani, Buku Teks Pendidikan Jasmani, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2014 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Kesemua sumber dijadikan sebagai panduan dan rujukan supaya instrumen pentaksiran yang dibina adalah bersesuaian dengan kehendak dan keperluan kurikulum Pendidikan Jasmani. Hasil kajian mendapati kesahan instrumen Model Pentaksiran Pembelajaran bagi permainan kategori serangan adalah tinggi bagi kedua-dua proses kesahan. Manakala, kebolehpercayaan instrumen Model Pentaksiran Pembelajaran bagi permainan kategori serangan antara dua penguji bagi pencapaian tahap penguasaan pelajar ketiga-tiga domain pembelajaran menunjukkan hubungan yang kuat. Berdasarkan dapatan, Model Pentaksiran Pembelajaran ini adalah sesuai digunakan sebagai instrumen standard untuk menaksir tahap penguasaan pelajar bagi permainan kategori serangan dalam Pendidikan Jasmani. Implikasi kajian adalah Model Pentaksiran Pembelajaran ini sebagai satu instrumen pentaksiran yang realistik, holistik dan boleh mengukur tahap penguasaan pelajar selari dengan kehendak pentaksiran berasaskan sekolah sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Kata Kunci: Pendidikan Jasmani, pentaksiran pembelajaran, permainan kategori serangan, kesahan, kebolehpercayaan